Minyak mentah didagangkan positif menuju penghujung minggu selepas pelabur mengharungi minggu yang tidak menentu di tengah-tengah kebimbangan berterusan terhadap bekalan dan permintaan serta risiko kelembapan ekonomi global yang semakin meningkat.
Pada sesi Eropah, niaga hadapan minyak mentah Brent didagangkan meningkat pada $105 setong, manakala dagangan WTI Amerika Syarikat pula menokok pada $97 setong.
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden gagal mendapatkan kesepakatan daripada pemimpin Arab Saudi pada minggu ini untuk mengepam lebih banyak minyak mentah.
Namun pada masa yang sama AS sedang mengusahakan rancangan untuk melaksanakan had harga ke atas minyak mentah Rusia yang bertujuan memberi tekanan ke atas Moscow susulan pencerobohannya di Ukraine.
Sementara itu, Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman dan Presiden Rusia Vladimi Putin pula dilaporkan telah berbincang mengenai kerjasama berterusan dalam OPEC+ pada Khamis.
Dari segi permintaan, data rasmi menunjukkan permintaan petrol di AS semakin lemah walaupun berada di puncak musim pemanduan musim panas.
Dalam pada itu, kenaikan kadar faedah yang agresif oleh bank pusat utama terus mencetuskan kebimbangan terhadap kelembapan ekonomi global dengan inflasi pula terus melambung tinggi.