Harga emas sedikit berubah pada Selasa selepas pulih dari kejatuhan pada awal minggu yang menghampiri paras terendah hampir empat bulan.
Pada sesi Asia, logam kuning itu diniagakan pada sekitar harga $1,822 per auns, bangkit dari kemerosotan ketara $1,786 per auns yang dicatatkan pada Isnin.
Dagangan US dolar yang lemah dan hasil bon AS 10 tahun lebih rendah dilihat memberi sedikit sokongan buat harga pasaran logam berharga itu untuk pulih.
Pemulihan ini juga mungkin turut didorong oleh berita utama dari China yang menunjukkan bacaan suram dalam data jualan runcit dan aktiviti perkilangan sekali gus menguatkan lagi kebimbangan terhadap prospek pertumbuhan global.
Selain itu, kenyataan terbaharu dari China State Planner turut mencabar keyakinan pasaran, di mana ia mengatakan terdapat tekanan menurun yang semakin meningkat ke atas ekonomi negara itu.
Namun, kebimbangan tersebut mungkin akan mereda selepas Shanghai menyampaikan rancangan untuk menamatkan penutupan Covid-19 selepas tiga hari berturut-turut mencatatkan sifar kes coronavirus di luar kawasan kuarantin.
Tumpuan pelabur kini beralih kepada penerbitan data jualan runcit Amerika Syarikat dan ucapan Pengerusi Federal Reserve (Fed), Jerome Powell yang dijadualkan pada sesi New York.