Memasuki sesi Eropah, US dolar mula mengatur langkah untuk mendaki lebih tinggi berbanding pesaing utamanya.
Terdahulu pada sesi Asia, pelabur telah diperlihatkan dengan bacaan mengecewakan dalam data PMI pembuatan dan perkhidmatan China yang masing-masing menunjukkan penguncupan bulan Oktober.
Ini telah mencetuskan risiko dalam sentimen pasaran yang memberi kelebihan kepada US dolar untuk meningkat dan membataskan pergerakan kebanyakan mata wang utama.
Turut menyokong dagangan dolar greenback adalah jangkaan kenaikan kadar faedah 75 mata asas oleh Federal Reserve (Fed) pada mesyuarat polisi yang akan berlangsung pada minggu ini.
Sebelum ini, pelabur terlebih dahulu akan menyaksikan keputusan dasar Reserve Bank of Australia (RBA) yang dijangka akan meningkatkan kadar sebanyak 25 mata asas.
Dengan jangkaan ini, dolar Aussie didagangkan suram pada sesi dagangan Isnin selain turut terkesan dengan sentimen pasaran yang berisiko.
Sementara itu, mata wang yen kekal didagangkan lebih rendah selepas Bank of Japan (BOJ) mengekalkan pendirian dovishnya untuk dasar yang sangat longgar.
Mengikuti perkembangan mata wang Eropah, pound dan euro masing-masing susut sekitar 0.4% berbanding greenback dengan pelabur turut menantikan mesyuarat polisi Bank of England (BOE).