Emas sudah cukup menderita pada minggu lalu yang memperlihatkannya menjunam ke paras terendah baharu dua setengah tahun disebabkan jangkaan kenaikan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed).
Pada sesi dagangan hari ini, logam berharga itu kini didagangkan rendah pada $1,669 per auns, manakala niaga hadapan emas pula sedikit berubah pada $1,677 per auns.
Logam kuning itu terus merosot lebih rendah susulan dagangan US dolar yang lebih kukuh dan hasil perbendaharaan AS 10 tahun yang lebih tinggi pada paras terkuat 3 bulan, meletakkannya kukuh pada 3.45%.
Emas dijangka akan terus mempamerkan pergerakan tidak menentu menjelang keputusan mesyuarat polisi FOMC pada Khamis yang dijangka akan menyaksikan satu lagi kenaikan 75 mata asas.
Data jualan runcit Amerika Syarikat dan tuntutan pengangguran yang kukuh minggu lalu, bersama-sama dengan laporan inflasi mengejutkan, menguatkan kebimbangan bahawa Fed mungkin bertindak lebih asgresif untuk membendung tekanan harga.
Selain itu, pasaran juga bakal melihat keputusan polisi daripada beberapa bank pusat utama lain seperti Bank of Japan (BOJ), England (BOE) dan Swiss National Bank (SNB) pada Khamis.