Emas didagangkan sedikit berubah ketika pelabur bersiap sedia untuk mesyuarat polisi FOMC yang akan berlangsung pada awal pagi Khamis (waktu Malaysia).
Meneliti pergerakan logam kuning pada sesi Asia, spot emas diniagakan pada sekitar harga $1,650 per auns manakala niaga hadapan emas pula sedikit meningkat pada $1,652 per auns.
Logam kuning itu sebelum ini berjaya mencatatkan keuntungan sederhana pada sesi Asia dan Eropah (Selasa), namun merosot semula apabila pasaran melangkah masuk ke sesi New York.
Ini susulan kebangkitan semula US dolar dan hasil bon AS 10 tahun yang meraih sokongan daripada data PMI pembuatan yang positif pada Oktober dan laporan JOLTS yang menunjukkan jumlah pembukaan pekerjaan meningkat kukuh kepada 10.7 juta pada September.
Pelabur kini menantikan mesyuarat FOMC yang dijangkakan secara meluas akan menyaksikan Federal Reserve (Fed) untuk meningkatkan kaar faedah sebanyak 75 mata asas.
Namun, terdapat spekulasi yang mengatakan Fed mungkin menawarkan kenyataan untuk memperlahankan kadar pengetatan.
Ini mungkin dapat memberi sokongan untuk emas kembali meningkat sekiranya ia benar-benar terjadi, dan situasi sebaliknya berlaku jika Fed masih terus hawkish untuk melaksanakan kenaikan lebih besar.