Ketika fokus utama pasaran tertumpu pada mesyuarat polisi FOMC pada minggu ini, kenyataan terbaharu Presiden Amerika Syarikat Joe Biden telah menggoncang sentimen pasaran.
Dalam satu temu bual, Presiden Biden berkata tentera AS akan mempertahankan Taiwan sekiranya berlaku pencerobohan oleh China, satu kenyataan yang dilihat akan meningkatkan lagi ketegangannya dengan Beijing.
Sebagai tindak balas kepada komen tersebut, Kementerian Luar China mengatakan kekesalannya dan tegas menentang kenyataan Biden, mengatakan Beijing memiliki hak untuk mengambil semua langkah yang perlu berhubung dengan Taiwan.
Pada sesi Eropah, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback didagangkan kukuh di puncak tertinggi 20 tahun berbanding pesaing utamanya pada 110.00.
Dolar greenback terus mendapat sokongan daripada jangkaan pasaran untuk kenaikan kadar faedah yang lebih besar oleh Federal Reserve (Fed) pada Khamis, sebanyak 75 mata asas.
Meneliti pergerakan mata wang Eropah, euro kembali tergelincir di bawah harga pariti setelah ditarik rendah oleh dagangan US dolar yang lebih kuat.
Sementara dagangan pound pula kekal berlegar di paras terendah 37 tahun, gagal mencari sokongan untuk pulih semula menjelang mesyuarat polisi Bank of England (BOE).
Beralih kepada mata wang antipodean, dolar Aussie dan New Zealand terus didagangkan merosot pada sekitar paras terlemah dua setengah tahun di tengah-tengah sentimen pasaran yang berisiko.