Permulaan yang menyuramkan buat dolar greenback pada awal minggu selepas raja mata wang itu tergelincir ke paras terendah lebih dua minggu berbanding pesaing utamanya.
Pada sesi Asia, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback kembali stabil pada sekitar harga 108.23 berbanding sekumpulan mata wang utama.
Terbitan data inflasi Amerika Syarikat pada hari ini kini menjadi fokus utama pelabur di mana indeks harga pengguna (CPI) tahunan dijangkakan menurun kepada 8.1% pada bulan Ogos daripada 8.5% yang dicatatkan pada Julai.
Sementara itu, euro mendaki lebih tinggi ke paras ketinggian lebih tiga minggu berbanding US dolar dengan dukungan daripada kenyataan hawkish pembuat dasar Bank Pusat Eropah (ECB) untuk pengetatan agresif.
Mata wang pound pula didagangkan lebih kukuh walaupun bacaan data pertumbuhan ekonomi UK yang dicatatkan kurang memberangsangkan pada bulan Julai.
Pelabur kini menantikan pengeluaran laporan pekerjaan pada sesi Eropah, yang akan disusuli oleh data inflasi pada Rabu dan jualan runcit UK pada Jumaat.
Meneliti perkembangan mata wang Asia, dolar Aussie dan New Zealand kekal diperdagangkan lebih tinggi susulan penyusutan US dolar dengan pelabur kini menunggu penerbitan data pertumbuhan ekonomi New Zealand dan pekerjaan Australia pada Khamis.
Di samping itu, dolar loonie melonjak ke paras tertinggi lebih dua minggu berbanding greenback di tengah-tengah jangkaan terhadap lebih banyak pengetatan oleh Bank of Canada (BOC) untuk menurunkan inflasi.
Selain itu, yen pula diniagakan mendatar susulan kenyataan pegawai kanan kerajaan Jepun yang menggesa pentadbiran untuk mengambil langkah yang diperlukan bagi mengatasi penurunan mendadak mata wang itu.