US dolar kekal stabil ketika pasaran menuju penghujung minggu dengan pelabur bersiap sedia untuk penerbitan data pekerjaan NFP Amerika Syarikat pada malam ini.
Data perbelanjaan peribadi penggguna (PCE) pada sesi sebelum ini menunjukkan bacaan yang menepati jangkaan, membuktikan kadar inflasi AS berada di tahap tertinggi dan Federal Reserve (Fed) perlu bertindak untuk memeranginya.
Walaupun bagitu, data tuntutan pengangguran AS pula meleset daripada jangkaan dengan meningkat sebanyak 202,000 pada minggu lalu berbanding 195,000 yang diramalkan dan 188,000 dicatatkan pada minggu sebelumnya.
Hal ini membuatkan pelabur lebih berhati-hati untuk laporan pekerjaan NFP pada malam ini, lebih-lebih lagi data ADP sektor swasta juga menepati ramalan dengan pertumbuhan sedikit perlahan pada bulan Mac.
Ketika penulisan, indeks dolar diniagakan sedikit meningkat pada 98.37 berbanding sekumpulan mata wang utama.
Sementara itu, euro pula susut lebih rendah di tengah kebimbangan pelabur tentang peningkatan ketegangan ekonomi antara Kesatuan Eropah (EU) dan Rusia selepas Presiden Vladimir Putin meningkatkan permintaan supaya negara Eropah membayar gasnya dalam mata wang rubel.
Ini secara tidak langsung memburukkan lagi kebimbangan mengenai potensi bahawa Rusia mungkin menyekat eksport tenaga ke benua itu.
Secara keseluruhan, pergerakan kebanyakan mata wang utama dilihat mendatar pada sesi Asia yang mungkin disebabkan oleh pelabur berhati-hati menjelang pengeluaran data NFP AS.