Sesi dagangan Eropah menyaksikan US dolar diniagakan sedikit meningkat ketika tumpuan pelabur disasarkan kepada pengeluaran laporan pekerjaan Amerika Syarikat pada sesi New York.
Berbanding sekumpulan mata wang utama, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback didagangkan pada sekitar harga 105.95.
Pelabur dilihat berhati-hati menjelang data penting NFP yang dijangkakan mencatat kemerosotan dalam pertambahan pekerjaan pada bulan Julai dengan kadar pengangguran kekal pada 3.6%.
Meneliti pergerakan mata wang Eropah, pound didagangkan mendatar susulan keputusan mesyuarat polisi Bank of England (BOE) yang telah meningkatkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas pada Khamis.
Bagaimanapun, dalam unjuran yang disemak semula BOE menjangkakan ekonomi UK akan memasuki kemelesetan pada suku terakhir tahun ini menyebabkan pound gagal meningkat lebih jauh.
Di sisi lain, dolar Aussie sedikit menyusut pada sesi Eropah susulan laporan yang mengatakan China mengenakan sekatan ke atas Speaker Dewan AS Nancy Pelosi atas lawatannya ke Taiwan.
Ini secara tidak langsung menimbulkan kebimbangan pasaran bahawa AS mungkin akan melupakan hasratnya untuk membatalkan sekatan import China yang dikenakan ketika era Trump berikutan tindakan terbaru Beijing yang dilihat akan memperbaharui ketegangan kedua-dua ekonomi gergasi dunia itu.