Pergerakan pasaran terus tidak menentu menjelang keputusan mesyuarat polisi FOMC, menyaksikan penyusutan US dolar dari paras ketinggian tiga minggu yang dicapainya pada sesi New York.
Ibarat dejavu. Inilah situasi yang dilihat telah bermain ketika sesi sebelum ini yang mana pasaran saham AS didagangkan rendah pada awalnya tetapi kembali meningkat untuk memulihkan semula kerugian menjelang penghujung sesi, sama seperti pergerakan yang dipamerkan pada Isnin.
Kemerosotan pasaran saham pada awal sesi New York, telah mendorong dagangan US dolar meningkat lebih tinggi sebelum mengurangkan sedikit keuntungan untuk didagangkan di sekitar harga yang sama berbanding pesaing utamanya.
Pada sesi Asia, indeks dolar diniagakan stabil pada sekitar harga 95.97 berbanding kebanyakan mata wang utama.
Faktor utama yang menjadi penggerak kepada pasaran masih sama sejak awal minggu, di mana mesyuarat polisi FOMC dan ketegangan geopolitik menyebabkan mata wang berisiko dilepaskan manakala permintaan safe-haven pula meningkat.
Dolar Aussie didagangkan stabil dengan sokongan daripada bacaan data inflasi Australia yang meningkat tinggi pada suku keempat 2021 sehingga menimbulkan jangkaan bahawa bank pusat akan menamatkan program pembelian bon mereka pada mesyuarat polisi minggu depan.
Sementara itu, mata wang pound mendapat sedikit dorongan untuk diniagakan pada harga 1.3500, sementara euro pula diperdagangkan berlegar pada sekitar harga 1.1300 berbanding USD.