Dagangan minyak mentah mengurangkan sedikit kenaikan pada awal minggu apabila bekalan kembali berjalan di Libya dan Kazakhstan.
Pada sesi Asia, niaga hadapan minyak mentah Brent diniagakan stabil pada sekitar harga $81.85 setong, manakala dagangan WTI Amerika Syarikat pula sedikit berubah pada $79 setong.
Kedua-dua penanda aras tersebut telah mendapat dorongan untuk meningkat ke paras tertinggi dua bulan pada minggu lalu berikutan gangguan pengeluaran di Libya dan Kazakhstan.
Bagaimanapun dalam perkembangan terbaru, pengeluaran oleh Libya dilaporkan kembali meningkat kepada 900,000 tong sehari selepas penyelenggaraan selesai. Sementara beberapa pengeluaran di Kazakhstan juga telah mulai pulih susulan pergolakan yang menyekat bekalan pada minggu lalu.
Sementara itu, pendekatan toleransi sifar Covid-19 oleh China menyebabkan pelabur sedikit bimbang sekiranya ia boleh mempengaruhi permintaan dari pengimport minyak terbesar dunia itu.
Terbaharu, China memulakan kempen ujian besar-besaran bandar pelabuhan utara Tianjin selepas dua kes komuniti telah disahkan sebagai Omicron, varian yang sangat mudah dan pantas merebak.