Bacaan yang lebih baik data keluaran dalam negara kasar (KDNK) Amerika Syarikat turut disambut baik oleh Setiausaha Perbendaharaan Janet Yellen yang mengatakan bacaan tersebut menunjukkan kekuatan dalam ekonomi.
Mengulas mengenai data yang baharu diterbitkan, Yellen masih tidak melihat kemelesetan akan berlaku, tetapi kerajaan AS bersedia untuk bertindak balas terhadap kelemahan ekonomi.
Sungguhpun begitu, Yellen berkata walaupun ekonomi dilihat berkembang kukuh pada suku ini, tetapi pertumbuhan perlu perlahan untuk menunjukkan tindakan AS dalam mengawal inflasi berkesan.
Ekonomi Amerika Syarikat berkembang lebih kukuh pada suku ketiga sebanyak 2.6%, bangkit semula susulan dua penguncupan berturut-turut pada separuh pertama tahun ini.
Namun, faktor terbesar kepada pertumbuhan ini adalah lonjakan eksport, menyebabkan beberapa ahli ekonomi tidak menjangkakan pertumbuhan akan berterusan pada akhir tahun ini atau awal 2023.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa Perbendaharaan sedang mengkaji pelan pembaharuan jangka panjang untuk meningkatkan kecairan dan mengurangkan keperluan nisbah mudah tunai tambahan Fed untuk bank adalah satu strategi yang berpotensi.