Emas sedikit merosot ketika sesi Asia selepas mencatatkan keuntungan pada sesi sebelumnya, yang disokong oleh ketidakpastian baharu menjelang pengumuman sekatan baharu oleh Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dan sekutunya pada Khamis.
Presiden Biden akan bertemu dengan pemimpin NATO dan Kesatuan Eropah (EU) untuk membincangkan mengenai isu pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Sidang kemuncak yang bakal berlangsung selama dua hari itu akan diadakan di ibu pejabat NATO di Brussels. Sekatan baharu yang dijangka akan diumumkan bakal memberi kesan berterusan kepada ekonomi, terutamanya Eropah yang sangat bergantung kepada import Rusia.
Faktor lain yang merangsang kenaikan harga emas adalah peningkatan dalam data inflasi UK ke paras tertinggi terbaharu 30 tahun pada Februari. Emas cenderung meningkat susulan permintaan oleh pelabur sebagai lindung nilai inflasi.
Walaupun begitu, pengukuhan hasil bon AS 10 tahun yang kekal di paras tertinggi hampir tiga tahun dan peningkatan US dolar, menyekat kenaikan emas daripada meningkat lebih tinggi.
Pada sesi Asia, emas diniagakan pada sekitar harga $1,941 per auns, susut sedikit dari paras $1,948 yang dicapainya pada awal sesi. Sementara niaga hadapan emas pula didagangkan stabil pada $1,942 per auns.