Amerika Syarikat terus mengatur langkah untuk mengenakan sekatan ke atas negara-negara yang ‘bermusuhan’ dengannya.
Terbaharu, pentadbiran Presiden Joe Biden dilaporkan sedang mempertimbangkan perintah eksekutif untuk menyaring dan mungkin menyekat pelaburan luar negara AS dalam pembangunan teknologi canggih di China dan negara lain yang berpotensi.
Wall Street Journal melaporkan, White House mungkin mengeluarkan perintah sedemikian dalam beberapa bulan akan datang yang memantau dan berpotensi menyekat pelaburan keluar oleh syarikat dan pelabur AS.
Langkah itu dibuat susulan kegagalan percubaannya sebelum ini untuk meluluskan undang-undang yang akan mengenakan sekatan serupa yang digugurkan bertujuan untuk meningkatkan daya saing Amerika pada musim panas ini.
Usaha terbaru itu, sedikit sebanyak menimbulkan kebimbangan beberapa perniagaan dan pelabur teknologi negara itu yang menyifatkan langkah ini mungkin sukar dilaksanakan dan melemahkan pengaruh ekonomi AS.
Kedutaan China di Washington berkata negaranya menentang perintah tersebut, mengatakan langkah itu akan mengehadkan pelaburan biasa di Beijing, menganggu perdagangan antarabangsa dan menjejaskan rantaian bekalan semikonduktor global.