Emas sedikit meningkat pada sesi Asia selepas mencatat kerugian pada awal minggu yang mendorongnya jatuh ke paras terendah satu minggu.
Pada sesi dagangan Asia, logam kuning itu diniagakan pada $1,637 per auns, manakala niaga hadapan emas pula sedikit berubah pada $1,640 per auns.
Menutup dagangan Oktober, emas masih lagi berada di paras terlemah yang menyaksikannya mencatat kerugian bulanan ketujuh berturut-turut.
Pemain pasaran kini lebih berwaspada menjelang mesyuarat polisi FOMC yang akan berlangsung pada awal pagi Khamis.
Dengan jangkaan kenaikan 75 mata asas, US dolar dan hasil bon AS 10 tahun menguat pada permulaan dagangan awal minggu sekali gus menyebabkan pergerakan emas terbatas.
Sementara itu di Zon Eropah, inflasi meningkat lebih kuat daripada dijangkakan pada bulan Oktober. Ini meningkatkan jangkaan bahawa Bank Pusat Eropah (ECB) akan melaksanakan kenaikan kadar faedah yang besar walaupun di tengah-tengah ekonomi yang melembap.
Emas yang biasanya dianggap sebagai lindung nilai inflasi cenderung untuk menurun berikutan peningkatan kadar faedah yang dilaksanakan oleh bank-bank pusat global.