Prospek suram menyelubungi pasaran komoditi hitam selepas Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan Jabatan Tenaga Amerika Syarikat menurunkan unjuran terhadap permintaan minyak mentah.
Terbaharu, OPEC mengurangkan ramalan permintaan minyak globalnya pada hari Rabu untuk 2022 dan 2023 masing-masing sebanyak 460,000 dan 360,000 tong sehari.
Antara sebab yang menyebabkan pengurangan tersebut adalah disebabkan inflasi yang tinggi, pertumbuhan di ekonomi maju yang terbantut dan penutupan Covid-19 di China.
Sementara Jabatan Tenaga AS pula menurunkan jangkaannya untuk penggunaan Amerika dan global, menyaksikan penggunaan di negara itu meningkat sedikit sebanyak 0.9% pada 2023 daripada ramalan sebelumnya sebanyak 1.7%.
Unjuran penggunaan global pula diturunkan kepada 1.5% daripada ramalan sebelumnya sebanyak 2%.
Ini menyebabkan dagangan minyak mentah suram, melihatkan niaga hadapan Brent diniagakan pada $92 setong manakala WTI AS pada $87 setong.
Turut menambah tekanan buat harga adalah, data yang dikeluarkan Institut Petroleum Amerika (API) yang melihat lonjakan lebih 7 juta tong dalam bekalan minyak mentah AS pada minggu lepas, menandakan permintaan lemah dari ekonomi nombor satu dunia itu.