Sentimen berisiko kembali menyokong dagangan US dolar untuk meningkat lebih kukuh menjelang mesyuarat polisi FOMC pada awal pagi Khamis (waktu Malaysia).
Terdapat beberapa faktor yang melemahkan sentimen pasaran di mana krisis tenaga Eropah telah meningkatkan lagi kebimbangan terhadap risiko kemelesetan.
Kesatuan Eropah (EU) akhirnya meluluskan pelan kecemasan untuk mengurangkan permintaan gas Rusia dengan negara anggota menjimatkan penggunaan gas sebanyak 15% dalam tempoh 6 bulan, bagi persediaan menghadapi musim sejuk.
Rusia sebelum itu telah mengumumkan pengurangan aliran gas melalui Nord Stream 1 ke Jerman dikurangkan kepada 20% daripada mulai hari Rabu, menyebabkan mata wang euro susut lebih rendah.
Indeks dolar pula didagangkan lebih kukuh berbanding sekumpulan mata wang utama pada sekitar harga 107.00, bangkit lebih tinggi dari paras terendah 3 minggu.
Selain itu, minat spekulatif memberi perhatian kepada hasil bon AS di mana berlaku penyongsangan (inverted yield curve) yang paling ketara pada keluk hasil sejak 2000.
Hasil perbendaharaan 2 tahun melebihi hasil jangka panjang 10 tahun pada 3.03% berbanding 2.76%. Keluk hasil terbalik biasanya menjadi petunjuk kepada kemelesetan.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sekali lagi menurunkan unjuran pertumbuhan global kepada 2.9% daripada 3.6% pada tahun ini.
Tinjauan Ekonomi Dunia juga menunjukkan jika Rusia menghentikan sepenuhnya penghantaran gas ke Eropah ia akan memperlahankan pertumbuhan lebih parah pada 2023.
Pelabur kini menumpukan perhatian kepada mesyuarat polisi FOMC yang telah mula berlangsung dan akan berakhir pada awal pagi nanti.