Pasaran sesi Asia menyaksikan dolar Amerika kekal mempertahankan pengukuhan di tengah hasil bon yang meningkat tinggi sehingga melemahkan mata wang yen lebih parah.
US dolar menyentuh paras harga 129.00 yen pada awal sesi, iaitu paras tertinggi sejak April 2002. Raja mata wang itu telah mencatatkan keuntungan 5.9% berbanding yen pada bulan ini.
Perbezaan pendekatan dasar monetari antara Jepun dan Amerika Syarikat telah mencipta jurang yang luas antara kedua-dua mata wang itu, di mana Bank Pusat Jepun (BOJ) masih kekal dengan dasar yang longgar manakala Federal Reserve (Fed) ke arah pengetatan.
Jangkaan pengetatan oleh Fed telah mendorong lonjakan hasil bon AS 10 tahun ke paras tertinggi 3 tahun, pada 2.97%. Ini sekali gus memacu indeks dolar mencapai paras harga 101.00 untuk pertama kali sejak Mac 2020.
Dalam pada itu, pelabur juga dapat melihat bahawa dagangan euro, pound dan kebanyakan mata wang utama lain juga mencatatkan peningkatan berbanding mata wang yen.
BOJ tetap dengan pendirian dasar ultra-dovishnya walaupun ahli-ahli politik Jepun meluahkan kebimbangan mereka terhadap kesan negatif daripada kelemahan yen yang jatuh dengan ketara.
Kenyataan daripada Gabenor Haruhiko Kuroda awal minggu ini mencadangkan bahawa bank pusat itu tidak melihat akan mengubah pendirian dasarnya dalam masa terdekat.