Dalam ketidaktentuan dagangan pada minggu terakhir untuk tahun 2022, mata wang Rusia ruble mencuri tumpuan dengan kemerosotannya yang mendadak.
Setelah kehilangan kira-kira 8% berbanding dolar minggu lalu, ruble terus didagangkan lebih lemah di sekitar paras terlemah hampir 8 bulan.
Mata wang itu juga berada di landasan untuk mencatatkan penurunan bulanan yang besar ekoran sekatan minyak dan had harga oleh negara Barat.
Had harga yang dipersetujui oleh negara G7, Australia dan Kesatuan Eropah (EU) telah berkuat kuasa pada 5 Disember yang membataskan harga pada $60 setong bagi minyak Rusia.
Penganalisis mengatakan sekatan Barat telah menyumbang kepada kejatuhan harga tenaga baru-baru ini, sekali gus memberi tekanan kepada mata wang ruble.
Ruble telah mengalami turun naik yang tinggi dalam tempoh dua minggu lalu dan mungkin mengalami perubahan mendadak di tengah-tengah volum dagangan yang lebih kecil menjelang cuti tahun baru.
Bertindak balas kepada tindakan Barat, Presiden Vladimir Putin pada Selasa menandatangani dekri yang mengharamkan penjualan minyak mentah dan produk minyak mulai 1 Februari selama lima bulan kepada negara yang menyokong had harga tersebut.