US dolar kekal didagangkan lebih tinggi di tengah-tengah ketegangan antara Amerika Syarikat dan China yang semakin panas berhubung isu Taiwan.
Speaker Dewan Rakyat AS Nancy Pelosi akhirnya mendarat di Taipei pada lewat hari Selasa dalam lawatan yang disifatkannya sebagai komitmen oleh Amerika yang tidak berbelah bahagi terhadap pulau yang didakwa milik China itu.
Bagaimanapun Beijing mengkritik lawatan peringkat tertinggi AS dalam tempoh 25 tahun sebagai ancaman keamanan dan kestabilan di Selat Taiwan.
Kesan daripada lawatan tersebut, China telah mula menyekat lebih 100 import produk makanan dari Taiwan, satu usaha yang dilihat untuk memberi tekanan ekonomi ke atas Taipei.
Ini sekali gus menambahkan lagi risiko dalam pasaran dengan mendorong dolar Aussie dan kiwi lebih rendah di samping kedua-duanya turut terkesan dengan kenyataan dovish polisi Reserve Bank of Australia (RBA) dan data pekerjaan menyuramkan New Zealand.
Raja mata wang US dolar pula kembali mengukuh dengan indeks dolar didagangkan tinggi pada 106.45 berbanding sekumpulan mata wang utama.
Sementara itu, pelabur turut diperlihatkan dengan kenyataan daripada beberapa penggubal dasar Federal Reserve (Fed).
Presiden Fed Chicago, Charles Evans mencadangkan kenaikan 50 mata asas pada September walaupun mengakui tekanan inflasi mungkin akan meluas dan kadar pengangguran kembali meningkat sekitar 4.25%.