Mata wang utama kembali membalikkan kerugian yang dicatatkan pada awal minggu dengan meningkat semula pada Selasa.
Pembukaan sesi Eropah melihatkan kebanyakan mata wang utama, khususnya dolar Aussie dan New Zealand melonjak lebih tinggi susulan khabar angin mengenai pembukaan semula sekatan Covid-19 di China.
Ini susulan kejadian protes oleh penunjuk perasaan di China yang telah menggegarkan dunia pada hujung minggu, menyebabkan sentimen berisiko menguasai pasaran secara meluas.
Bagaimanapun, pelabur mula menilai kenyataan pengulas Global Times Hu Xijin dalam tweetnya yang mengatakan China mungkin keluar dari bayang-bayang Covid lebih awal daripada dijangkakan.
Malah, laporan mengenai China akan membuat pengumuman pada jam 3 petang tadi turut membantu mengangkat sentimen pasaran, walaupun hakikat sebenarnya ia hanyalah makluman mengenai vaksinasi warga emas.
Susulan optimisme tersebut, dolar Aussie dan kiwi memaparkan peningkatan sejak sesi Asia dan bersambung ke sesi Eropah.
Turut memaparkan peningkatan adalah dagangan yuan China seiring dengan pasaran saham Asia yang lain seperti Shanghai Composite dan Hang Seng Hong Kong.
Selain itu, dagangan mata wang euro dan pound turut meningkat dengan keuntungan sederhana, cuba untuk menghapuskan kerugian yang dicatatkan sebelum ini.
Dengan kebangkitan semula mata wang utama, dolar greenback pula mempamerkan kemerosotan pada awal sesi Eropah.
Berbanding kebanyakan mata wang utama, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback susut pada sekitar harga 106.15.