Khabar angin bertiup kencang mengatakan China akan melonggarkan sekatan Covid-19nya, sekali gus memberi sedikit sinar buat pasaran yang kini dibebankan oleh pengukuhan US dolar.
Yuan China adalah mata wang yang mendapat sokongan daripada berita ini, menyaksikannya melonjak lebih 1% pada sesi Asia pada 7.2621 berbanding US dolar.
Bloomberg News melaporkan bahawa China sedang merancang untuk mengangkat sekatan bagi pengangkutan udara.
Sekiranya benar, ia boleh meningkatkan prospek lebih baik untuk ekonomi gergasi kedua dunia itu yang sebelum ini telah dilemahkan oleh sekatan Covid-19 yang berterusan.
Ekoran itu, dagangan aset berisiko mengambil peluang untuk meningkat susulan laporan ini, turut disokong oleh US dolar yang berehat daripada membuat kenaikan.
Mata wang senssitif risiko, dolar Aussie menokok 1%, manakala New Zealand pula 0.8% susulan laporan tersebut.
Bagaimanapun, pelabur tetap berhati-hati menjelang pengeluaran data pekerjaan NFP Amerika Syarikat pada sesi New York.
Ini dapat dilihat pada dagangan euro dan pound yang mendatar pada sekitar paras terendah dua minggu.
Mata wang pound terus terkesan dengan unjuran buruk Bank of England (BOE) terhadap ekonomi UK yang dijangka akan mengalami kemelesetan paling lama selepas menaikkan kadar faedah ke paras tertinggi sejak 1989.
Sementara itu, raja mata wang US dolar sedikit berundur daripada keuntungan yang dicatatkan susulan keputusan FOMC dengan pelabur kini menantikan terbitan data NFP.