“Lepas ni tak payah susah-susah naik kapal terbang, metaverse je dah cukup untuk rapatkan hubungan antara negara.”
Semakin dikenali ramai, semakin yakinlah wilayah Gyeongbuk Korea Selatan untuk mengaplikasikan metaverse sebagai salah satu objektifnya bagi mengeratkan hubungan ekonomi bersama negara Vietnam.
Menurut Lee Cheol-woo semasa melawat ke negara Asia Tenggara itu, gabenor wilayah Gyeongbuk menyatakan bahawa tujuan utama tindakan tersebut dilakukan adalah untuk memperluaskan ekonomi, budaya, perdagangan dan rakyat dengan Vietnam melalui metaverse.
Walaupun Lee berpandangan negara Korea Selatan adalah “metaverse capital” susulan mempunyai pengecualian peraturan dan pelepasan cukai, negara itu masih belum memutuskan lagi jumlah dana yang ingin dilaburkannya dalam metaverse.
Namun untuk menjadikan negaranya sebagai salah satu hab inovasi metaverse, wilayah tersebut berhasrat melabur sebanyak 18 bilion won ($13.8 juta) dan meningkatkan nilai Gyeongbuk sekitar $1 trilion bersandarkan inisiatif baharu itu.
Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol turut dilaporkan menyokong metaverse dan pembangunan Web3 sementara Kementerian Sains dan ICT telah melabur sebanyak $185 juta membangunkan pertumbuhan industri mengenai metaverse.
Secara konteks, metaverse merupakan Internet decentralized dan Web3 yang dibina pada blockchain, teknologi asas mata wang kripto ataupun pengaksesan rangkaian dunia maya 3D melalui set kepala realiti maya (VR).
Pada sisi berbeza, perdana menteri Jepun, Fumio Kishida juga melabur dalam metaverse dan non-fungible token (NFT) pada Oktober tahun ini agar ekonomi negaranya dapat berkembang melalui pembangunan Web3.