Industri perlombongan kripto dilaporkan berhadapan dengan gangguan berikutan konflik Rusia-Ukraine yang dapat mengganggu bekalan penting untuk pembuatan semikonduktor. Tambahan pula industri ini masih terkesan akibat kekurangan cip hampir dua tahun yang mendorong kenaikan harga kad grafik.
Ukraine membekalkan kira-kira 90% daripada neon gred semikonduktor Amerika Syarikat, yang merupakan bahan digunakan dalam proses membuat cip kata firma penasihat Techcet dalam satu laporan. Manakala Rusia menyumbang 35% daripada bekalan paladium negara, logam yang digunakan dalam mencipta beberapa jenis semikonduktor.
Sebarang gangguan berkemungkinan memberi kesan yang luas ke atas bekalan cip, yang seterusnya boleh mendorong kenaikan harga cip. Ini seterusnya boleh mengecilkan potensi pengembangan dalam industri perlombongan, yang sangat bergantung kepada bekalan cip.
Jika konflik geopolitik ini berterusan, kemungkinan gangguan bekalan adalah tinggi dalam beberapa bulan akan datang.
Disisi lain terdapat usaha-usaha yang sedang dilakukan. Firma Belanda ASML baru-baru ini berkata ia sedang meneroka alternatif kepada bekalan neon semasanya. Syarikat gergasi pembuatan cip Intel dan Taiwan Semiconductor Manufacturing Co (TSMC) baru-baru ini mengumumkan rancangan untuk meningkatkan pembuatan semikonduktor, di tengah-tengah peningkatan permintaan. TSMC, pembekal cip terbesar di dunia, mengumumkan pelaburan $44 bilion untuk meningkatkan bekalan awal tahun ini
Dengan kadar hash Bitcoin, yang mencatat rekod tertinggi baru-baru ini, industri perlombongan dijangka banyak bergantung pada bekalan cip yang stabil.