Boris Johnson masih lagi berdegil mempertahankan jawatannya sebagai perdana menteri UK walaupun selepas lebih 40 ahli parlimennya meletakkan jawatan pada minggu ini.
Malah, beliau juga mengambil langkah drastik dengan memecat Setiausaha Perumahan Michael Gove pada lewat petang Rabu yang sebelum itu telah menggesa perdana menteri untuk berundur susulan beberapa skandal yang dihadapinya.
Gesaan Gove difahamkan turut disertai oleh penyokong setia Boris Johnson yang lain, termasuk Setiausaha Dalam Negeri Priti Patel, Menteri Kewangan baharu, Nadhim Zahawi, Setiausaha Wales Simon Hart, Setiausaha Perniagaan Kwasi Kwarteng dan Setiausaha Pengangkutan Grant Shapps.
Bagaimanapun, menolak seruan mereka, setiausaha sulit parlimen James Duddridge memberitahu bahawa PM Johnson dalam ‘mood yang memberangsangkan’ dan akan terus berjuang.
Setakat petang Rabu (waktu UK), seramai 46 individu dilaporkan telah berhenti daripada jawatan kerajaan kerana sokongan terhadap kepimpinan Boris Johnson telah runtuh.
Kemusnahan ini bermula dengan peletakan jawatan mengejut Setiausaha Kesihatan Sajid Javid dan Menteri Kewangan Rishi Sunak selepas Downing Street mengakui PM Johnson mengetahui tentang dakwaan salah laku yang memalukan Chris Pincher pada 2019 sebelum melantiknya sebagai Setiausaha Parlimen kepada Perbendaharaan pada Februari.