Berbeza dengan pasaran lain, dagangan komoditi hitam gagal memanfaatkan kejatuhan US dolar untuk melonjak lebih tinggi.
Niaga hadapan minyak mentah Brent hanya meningkat 0.9% pada Khamis selepas data inflasi Amerika Syarikat yang dikeluarkan mendorong penurunan greenback, manakala dagangan WTI AS pula menokok sekitar 0.6%.
Ini membawa dagangan minyak Brent didagangkan pada $93 setong, sementara WTI AS pada $86 setong pada sesi Asia hari ini.
Secara keseluruhan, penanda aras Brent berada di landasan untuk mencatat kerugian sekitar 4.7% dan WTI AS hilang kira-kira 6% pada minggu ini.
Prestasi yang kurang memberangsangkan ini menunjukkan bahawa kebimbangan terhadap permintaan global terus mempengaruhi pasaran minyak.
Laporan terbaru menunjukkan bahawa kes jangkitan Covid-19 di Beijing melonjak paling tinggi dalam tempoh lebih setahun membuatkan pelabur khuatir bahawa langkah sekatan akan dilaksanakan semula.
Seperti yang diketahui penutupan Covid-19 telah merencatkan ekonomi gergasi kedua dunia itu dan menjejaskan permintaan minyak dari China.