Menghiasi hari terakhir untuk dagangan 2022, US dolar tersungkur di tengah-tengah kewaspadaan pelabur berikutan pergerakan pasaran yang tidak menentu.
Sesi Asia menyaksikan indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding kebanyakan mata wang utama didagangkan lemah pada 103.90.
Perkembangan mengenai situasi Covid-19 di China terus berlegar dalam pasaran dengan mencetuskan pelbagai reaksi yang berbeza.
Terdahulu, pasaran kewangan dalam kewaspadaan selepas Itali melaporkan kira-kira 50% daripada penumpang dua penerbangan yang tiba di Milan diuji positif Covid-19.
Namun, Itali kemudiaannya mengesahkan bahawa tiada penemuan mengenai varian Covid baharu dalam ujian tersebut.
Beberapa negara barat juga bergegas memperkenalkan peraturan baharu ke atas pelancong China berikutan kebimbangan terhadap penyebaran wabak baru.
Pun begitu, pasaran Wall Street dilihat lebih baik pada sesi New York, menyebabkan dagangan US dolar tenggelam dan kelemahannya berterusan pada sesi dagangan hari ini.
Susulan penyusutan US dolar, mata wang euro mengambil peluang untuk meningkat ke sekitar paras tertinggi dua minggu.
Sementara keuntungan yang dicatatkan pound pula terhad di tengah-tengah mogok yang berlaku di UK, di mana 1,000 anggota Kesatuan Perkhidmatan Awam dan Komersial (PCS) mogok selama empat hari sehingga Malam Tahun Baru.
Dolar Aussie dan New Zealand juga meningkat berikutan kemerosotan yang dicatatkan US dolar, tetapi sedikit menurun pada sesi Asia hari ini.
Keseluruhannya, pelabur kekal berwaspada di tengah-tengah pergerakan pasaran yang tidak menentu berikutan volatiliti yang tinggi menjelang akhir tahun 2022.