‘Ambil kesempatan disebalik pembukaan sempadan untuk bina kerjasama erat nampak.’
Malaysia Aviation Group Bhd (MAG), syarikat induk kepada Malaysia Airlines Bhd menyatakan ia berada dalam landasan terbaik untuk meraih keuntungan menjelang 2023.
Menurut Ketua Pegawai Kemampanan syarikat, Philip See, mereka menyasarkan ‘trajektori’ untuk meraih keuntungan menjelang 2023 dan turut berusaha untuk memastikan perniagaan mencapai tahap pre-pandemik menjelang 2024 dan 2025.
Terangnya, penjualan tiket kumpulan semasa pre-pandemik mencapai nilai RM10 bilion di mana antara 3% ke 4% adalah hasil sampingan.
Kenyataan tersebut telah dibuat oleh See ketika acara memeterai perjanjian memorandum persefahaman (MOU) antara MAG dan Sunway Group dalam menjalinkan kerjasama bagi membuka peluang perniagaan baru serta kempen pemasaran bersama selain aktiviti penjenamaan dan promosi.
MOU tersebut telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAG, Kapten Izham Ismail dan CEO Sunway Group, Sarena Cheah.
Dalam pada itu, MAG menyatakan sasaran untuk memperluaskan hasil sampingannya mejelang 2025 susulan perkongsian bersama Sunway Group.
MAG walau bagaimanapun, enggan mendedahkan sasaran pengembangan sampingan tersebut, namun menurut catatan yang dicapai sebelum ini semasa pra-pandemik, setiap bahagian hasil sampingan adalah margin tulen untuk pembawa kerana struktur kosnya adalah 70-80% tetap.
Selain itu, perkongsian tersebut dilihat dapat memanfaatkan MAG dengan memperkembangkan penjualan tiket penerbangan, mendapatkan sebahagaian besar bahagian lain pengalaman perjalanan dan menukar model perniagaan tertentu.