‘Kalau tengok secara kasar nampak macam ada peluang untuk harga dolar jadi lebih murah.’
BDS Group Holdings Ltd dan Malayan Banking Bhd (Maybank) meramalkan ‘hari-hari kelam’ untuk mata wang negara Asia sedang membangun akan berakhir dengan jangkaan kenaikan kadar yang kurang agresif oleh Federal Reserve (Fed).
Asas tersebut dikeluarkan berdasarkan data terbitan Amerika Syarikat (AS) yang menyaksikan kadar inflasi semakin berkurangan, dan secara tidak langsung membuatkan indeks dolar melemah.
Indeks harga pengguna AS dilihat merosot 8.5% dari 9.1%, penurunan terbesar dalam 4 dekad menurut data terbitan Jabatan Buruh pada Rabu kelmarin.
Ini bermakna dolar yang melemah akan mengurangkan tekanan ke atas bank pusat Asia dalam meningkatkan kos pinjaman dan membantu pertumbuhan ekonomi, sungguhpun terdapat risiko kemelesetan pada negara maju lain.
Jelas Philip Wee, pakar strategi pertukaran asing di DBS Singapura, data inflasi yang rendah mengukuhkan jangkaan bahawa dolar mengembalikan keuntungan berbanding mata wang Asia bermula suku ini hingga akhir tahun.
Tambahnya, ia juga memberi gambaran bahawa senario terburuk mungkin sudah berakhir untuk mata wang Asia walaupun ketidaktentuan masih berterusan.
Umumnya, terdapat momentum pembelian optimisme terhadap aset-aset negara Asia yang sedang pesat membangun sejak kebelakangan ini dengan pelabur global membuat pembelian bersih $2.06 bilion saham India dan $1.25 bilion di Korea.
Dalam pada itu, pakar mata wang Maybank Singapura, Yanxi Tan pula mengatakan penurunan inflasi AS dan kegelisahan pertumbuhan ketara pada akhir tahun akan menyokong pengukuhan semula dolar.
Di sisi berbeza, pasaran mengharapkan kenaikan kadar yang kurang agresif boleh memberi rangsangan apabila sentimen risiko dilihat bertambah baik.