Pengukuhan US dolar menekan kebanyakan mata wang utama lebih rendah pada sesi Eropah susulan data inflasi Amerika Syarikat yang kukuh meningkatkan keyakinan untuk kenaikan kadar faedah pada minggu depan.
US dolar meningkat ke paras tertinggi lima tahun berbanding yen, melanjutkan kenaikan 1.5% yang telah dicatatkan pada minggu ini.
Kedua-dua mesyuarat polisi Bank Pusat Jepun (BOJ) dan Federal Reserve (Fed) akan diadakan pada minggu depan, tetapi bank pusat AS sudah hampir pasti akan menaikkan kadar faedahnya dari paras terendah.
Sementara BOJ pula kekal dengan pendirian dovish mereka meskipun menyatakan kebimbanga terhadap inflasi yang semakin tinggi, menyebabkan mata wang yen kekal suram.
Selain itu, US dolar turut disokong oleh kewaspadaan pelabur berikutan pertemuan Menteri Luar Rusia dan Ukraine yang gagal mencapai kesepakatan dalam rundingan untuk gencatan senjata.
Kekuatan dolar greenback membenam mata wang euro lebih rendah walaupun keputusan mesyuarat polisi Bank Pusat Eropah (ECB) pada Khamis menyaksikan Presiden Christine Lagarde hawkish untuk menamatkan pelonggaran kuantitatifnya.
Dagangan pound juga susut, memperlihatkannya suram di paras terlemah sejak Disember 2020 setelah gagal memanfaatkan data pertumbuhan ekonomi UK yang lebih baik daripada jangkaan pada bulan Januari.
Di sisi lain, dolar Aussie dan kiwi didagangkan sedikit merosot di tengah sentimen pasaran yang suram ekoran ketiadaan kemajuan dalam rundingan Ukraine-Rusia. Sementara dolar loonie pula stabil menjelang penerbitan data pekerjaan Kanada pada sesi New York.