US dolar kembali memaparkan peningkatan pada sesi Asia selepas menyusut ketara berikutan pengambilan untung oleh pelabur.
Raja mata wang itu susut 0.6% selepas menyentuh paras tertinggi sejak Mac 2020 dan memberi peluang kepada kebanyakan mata wang utama lain untuk meningkat.
Bagaimanapun, penyusutan yang dicatatkan tidak bertahan lama apabila mata wang gergasi itu kembali meningkat pada sesi dagangan hari ini, menyaksikan indeks dolar didagangkan pada 100.48 berbanding sekumpulan mata wnag utama.
Susulan kemerosotan USD dan hasil bon AS, mata wang yen berjaya mencatat keuntungan sederhana selain turut disokong oleh tindakan Bank Pusat Jepun (BOJ).
BOJ sekali lagi menawarkan untuk membeli bon kerajaan Jepun tanpa had untuk mengekang kenaikan hasil 10 tahun Jepun, yang melebihi sasaran hasilnya 0.25%.
Selain itu, dolar Aussie juga meningkat di tengah-tengah jangkaan bahawa Bank Pusat Australia (RBA) akan menaikkan kadar faedahnya tidak lama lagi bagi membendung lonjakan inflasi.
Euro turut meningkat ketika Emmanuel Macron terus mendahului undian untuk memenangi pusingan akhir pilihan raya presiden pada 24 April. Namun, peningkatan yang dicatatkan kembali terhad apabila USD kembali mencatat kenaikan.
Pound pula kekal stabil di sekitar harga 1.3000 tetapi pergerakan harga masih berlegar pada paras terendah sejak November 2020. Kedua-dua mata wang Eropah ini akan menjadi tumpuan pelabur menjelang penerbitan data PMI pembuatan dan perkhidmatan pada hari Jumaat.