‘Lega sikit pelabur dapat berita gembira macam ni.’
Kejatuhan Bitcoin (BTC) yang berlaku tidak menggusarkan firma pembuatan perisisan Amerika Syarikat (AS), MicroStrategy kerana masih belum menerima amaran margin call (MC) dari bank kripto, Silvergate Capital Corp.
Menurut Presiden MicroStrategy, Phong Le, mereka akan menerima amaran tersebut andai BTC susut di bawah $21,000 namun sehingga kini masih tiada khabar berita dari broker.
Ia secara tidak langsung meredakan kegelisahan pelabur selepas berlaku keruntuhan pasaran kripto yang mencetus kebimbangan pembubaran aset tersebut.
Sebagai rekod, MicroStrategy adalah pelabur Bitcoin paling besar yang meminjam $205 juta dari Silvergate Capital Corp dengan pinjaman 3 tahun jaminan terhadap kira-kira 19,466 BTC.
Pada Selasa lalu, nilai BTC sebenarnya sudah menurun ke paras $20,816.36 sebelum stabil semula ke paras $22,000, namun tiada sebarang berita dikeluarkan oleh Silvergate Capital Corp ketika itu.
Sementara itu, kenyataan rasmi MicroStrategy menyatakan bahawa mereka sentiasa bersedia untuk menambah BTC bagi mengekalkan nisbah pinjaman pada bila-bila masa.
Terang Ketua Pegawai Eksekutif MicroStrategy, Michael Saylor, beliau menyatakan syarikat akan tetap ‘hold‘ kerana sudah membuat pelbagai pengiraan dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran kripto.
Kenyataan demi kenyataan dari MicroStrategy dilihat berjaya mengurangkan kegelisahan pasaran di sebalik prospek kenaikan kadar faedah yang menyebabkan aset berisiko kurang mendapat perhatian.
Dalam pada itu, saham MicroStrategy mencanak 6% dan saham Silvergate meraih 3% semasa sesi dagangan AS pada Selasa.