Aliran import minyak mentah Rusia melalui laut ke Kesatuan Eropah (EU) akhirnya terhenti apabila sekatan terhadapnya mula berkuat kuasa pada 5 Disember lalu.
Ini menyebabkan Presiden Vladimir Putin berpaling ke Asia dengan kapal tangki mula membanjiri benua itu dan Terusan Suez untuk penghantaran ke India dan China.
Hasilnya, kemasukan tersebut meningkat lebih 3 juta tong sehari dalam seminggu hingga 9 Disember yang menyumbang 89% daripada semua minyak mentah dihantar dari pelabuhan Rusia pada minggu tersebut, menurut Bloomberg.
Sungguhpun begitu, realitinya lebih separuh daripada minyak mentah yang dibawa kapal dari pelabuhan Baltik, Laut Hitam dan Artik menuju ke Terusan Suez itu tidak mempunyai arah tuju.
Tidak jelas sama ada semua minyak tersebut telah dijual, atau ia mungkin bergantung pada harapan untuk terjual sebelum tiba ke destinasi.
Setakat ini, Putin masih belum bertindak balas terhadap sekatan tersebut dan pengenaan had harga $60 setong oleh negara-negara sekutu Barat.
Penggantungan penghantaran melalui saluran paip mungkin boleh menjadi pertimbangan Moscow seterusnya yang dilihat akan merugikan negara seperti Slovakia, Hungary dan Republik Czech.
Dalam pada itu, jumlah minyak mentah pada kapal yang menuju ke China, India dan Turki digabungkan dengan kapal yang belum menunjukkan destinasi akhir, melonjak kepada 2.73 juta tong sehari dalam tempoh empat minggu hingga 9 Disember.
Sementara penghantaran minyak Rusia ke negara EU pula dilaporkan berkurangan kepada 215,000 tong sehari dalam tempoh 28 hari hingga 9 Disember, dengan Bulgaria menjadi satu-satunya destinasi Eropah untuk cecair hitam dari Moscow.
Siapa sangka perang Rusia-Ukraine akan membawa impak sebegini rupa dalam tempoh kurang satu tahun. Eropah yang sebelum ini bergantung tinggi pada minyak Rusia terpaksa melepaskannya sebagai hukuman terhadap Putin kerana menyerang Ukraine.