Komoditi emas didagangkan pada sekitar paras harga $1,620 per auns pada sesi pasaran Eropah hari ini (Jumaat), menyusut ke paras terendah terbaru sejak April 2020 .
Faktor penyusutan nilai logam kuning itu dilihat didorong oleh komen-komen bernada ‘hawkish’ yang disampaikan oleh pegawai Federal Reserve (Fed), diapit faktor pengukuhan pasaran buruh berdasarkan laporan tuntutan faedah pengangguran yang menurun mendorong hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) meningkat.
Melihat kepada situasi inflasi pada masa ini, Presiden Fed Philadelphia, Patrick Harker menyatakan bahawa bank pusat kini sedang rancak memperlahankan ekonomi dan sedang terus berusaha meneruskan kenaikan kadar faedah bagi membendung inflasi yang tinggi.
Emas dijangka akan terus berdepan risiko kejatuhan pada minggu-minggu berikutnya ekoran jangkaan pengukuhan US dolar ketika tumpuan terarah pada pengetatan dasar oleh Fed.
Namun tidak mustahil situasi sebaliknya boleh berlaku sekiranya perubahan sentimen pasaran mengubah arah pergerakan harga dan mendorong lonjakan semula aset emas.
Sementara itu, harga minyak dilihat agak suram pada dagangan penghujung minggu ini ketika pemain pasaran menyatakan kebimbangan mereka terhadap risiko inflasi dan hanya mengharapkan China untuk melonjakkan permintaan minyak.
Perkembangan penularan Covid-10 di China juga diberi perhatian kerana boleh mempengaruhi pasaran minyak global ekoran China merupakan antara pengguna terbesar minyak dunia.
Bloomberg melaporkan China sedang mempertimbangkan untuk memendekkan tempoh kuarantin kepada pelancong daripada 10 hari kepada 7 hari.
Covid-19 di China telah mempengaruhi permintaan mereka terhadap minyak selaku pengimport minyak terbesar dunia, justeru sebarang perkembangan positif boleh memberi kesan terhadap pemulihan harga minyak dalam pasaran semasa.
Minyak WTI AS didagangkan sekitar paras $83 setong sementara minyak Brent pual sedikit susut di bawah paras $90.