Fokus utama pelabur pada sesi Asia hari ini (Selasa) pastinya tertumpu pada mesyuarat polisi Reserve Bank of Australia (RBA) yang dijangka akan meneruskan kenaikan kadar faedah dengan kadar lebih perlahan.
Dengan jangkaan meluas untuk kenaikan sebanyak 25 mata asas, pelabur menyaksikan dolar Aussie didagangkan mendatar menjelang mesyuarat tersebut.
Beralih kepada raja mata wang, US dolar diniagakan sedikit berubah setelah meraih pengukuhan pada pembukaan dagangan awal minggu di tengah-tengah jangkaan bahawa Federal Reserve (Fed) akan meningkatkan kadar faedah 75 mata asas.
Sebelum itu, pelabur akan diperlihatkan terlebih dahulu dengan beberapa penerbitan laporan daripada Amerika Syarikat iaitu PMI pembuatan dan data pekerjaan ADP sektor swasta.
Dalam pada itu, mata wang yen cuba mencuri tumpuan pelabur dengan sedikit meningkat susulan laporan mengenai Jepun yang telah membelanjakan $42.8 bilion untuk campur tangannya pada bulan Oktober.
Sementara itu di Eropah, mata wang pound didagangkan sedikit lebih rendah susulan penyusutan yang dicatatkan pada Isnin.
Pelabur masih berbelah bahagi terhadap langkah kenaikan yang akan diambil Bank of England (BOE) meskipun ada segelintir yang mengharapkan peningkatan sebanyak 75 mata asas.