Kekecewaan pelabur emas bertambah selepas menyaksikan bacaan lebih rendah dalam data inflasi pengeluar Amerika Syarikat, menyebabkan dagangan logam kuning itu terus terbatas.
Pada sesi Asia, emas didagangkan pada sekitar harga yang sama pada $1,787 per auns, manakala niaga hadapan emas pula sedikit merosot pada $1,802 per auns.
Laporan indeks harga pengeluar (PPI) AS dilaporkan turun 0.5% berbanding ramalan kenaikan 0.2% dan merosot daripada kenaikan sebelumnya pada 1.1%.
Pada asas tahunan pula, PPI dilaporkan meningkat 9.8% pada bulan lalu, menurun daripada catatan peningkatan 11.3% pada Jun.
https://soundcloud.com/intradaydotmy/emas-tak-tentu-arah?utm_source=clipboard&utm_campaign=wtshare&utm_medium=widget&utm_content=https%253A%252F%252Fsoundcloud.com%252Fintradaydotmy%252Femas-tak-tentu-arah
Ini menambahkan lagi kekecewaan pelabur yang memegang emas sebagai lindung nilai inflasi, yang sebelum ini telah diperlihatkan dengan data inflasi pengguna yang juga menunjukkan bacaan menyuramkan pada Julai.
Data inflasi AS minggu ini mendorong beberapa spekulasi awal di pasaran bahawa tekanan inflasi mungkin telah memuncak dan akan menurun dalam beberapa bulan akan datang.
Bagaimanapun, Federal Reserve (Fed) dilihat akan teruskan pendirian untuk meningkatkan kadar faedahnya sehingga inflasi betul-betul menunjukkan penurunan.