Syarikat Jerman yang menjalankan perniagaan di China meluahkan kebimbangan bahawa penularan varian Omicron akan mencetuskan langkah sekatan lebih ketat yang boleh menambahkan lagi masalah rantaian bekalan.
Memetik kepada laporan Reuters yang menyebut kenyataan dari seorang ahli lembaga eksekutif DIHK di China, memberitahu bahawa strategi negara itu untuk melaksanakan sekatan bersasar telah menunjukkan keberkesanannya setakat ini.
Bagaimanapun, varian Omicron yang sangat mudah menular boleh mencabar polisi sifar Covid-19 oleh kerajaan, terutamanya apabila lebih banyak rakyat China melakukan perjalanan untuk menyambung cuti Tahun Baru Cina.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada hari Jumaat baru-baru ini telah menggesa China untuk menilai semula pendekatan sifar Covidnya berikutan penyebaran varian Omicron.
Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva memberitahu strategi tersebut telah menimbulkan beban besar buat ekonomi secara domestik dan global.
Walaupun begitu, Beijing mungkin tidak akan membatalkan polisi tersebut memandangkan vaksin yang dihasilkannya tidak mempunyai kadar keberkesanan seperti mana yang ditunjukkan oleh vaksin mRNA dikeluarkan oleh negara barat lain, terhadap Omicron.
Menjelang acara Olimpik musim sejuk di Beijing pada minggu depan, ribuan orang luar akan memasuki negara itu dan berpotensi meningkatkan risiko jangkitan Omicron. Situasi ini dilihat bakal mendorong pelaksanaan sekatan lebih ketat oleh China.