Ketika mata wang yen parah dihentam oleh raja US dolar, kedengaran beberapa suara daripada pegawai kerajaan Jepun yang khuatir akan kejatuhan mendadak itu.
Pihak berkuasa Jepun menegaskan pendirian mereka ketika sesi Asia dengan kenyataan daripada menteri kewangan Shunichi Suzuki dan ketua setiausaha kabinet Hirokazu Matsuno mengatakan tidak akan bertolak ansur dengan pergerakan berat sebelah dalam mata wang yen.
Kerajaan dikatakan akan terus memerhatikan pergerakan yen yang lemah dan akan mengambil tindakan yang perlu jika ia berterusan.
Sementara itu secara berasingan, Bank of Japan (BOJ) mengumumkan ia akan meningkatkan pembelian bon berjadual dengan membeli ¥550 bilion bon 5-10 tahun pada operasi biasanya daripada ¥500 bilion sebelum ini.
Langkah itu diambil apabila penanda aras hasil 10 tahun Jepun mencecah 0245%, menghampiri had atas 0.25% paras dagangan yang dibenarkan BOJ.
Walaupun begitu, tindakan tersebut dilihat gagal menyelamatkan mata wang yen yang sudah tenggelam lebih jauh.
Pada waktu penulisan, dagangan yen mencatat rekod terendah 24 tahun baharu selepas menyentuh paras terlemah 144.38 berbanding US dolar.
Yen bukanlah satu-satunya mata wang yang menderita akibat pengukuhan US dolar, di mana pelabur turut menyaksikan mata wang Asia lain seperti won Korea dan yuan China susut lebih parah.