Saham terus berdarah tatkala dolar Amerika Syarikat (AS) mencengkam puncak dengan kebimbangan langkah pengetatan bank pusat menjinakkan inflasi merisikokan kemelesetan ekonomi.
Buat masa ini sentimen pelabur dilihat berbelah bahagi namun lebih cenderung terhadap kemungkinan dasar monetari pengetatan yang agresif.
Difahamkan, tumpuan terus menantikan ucapan Pengerusi Federal Reserve (Fed) pada Simposium Jackson Hole yang akan menentukan peratus kenaikan kadar faedah sama ada agresif atau pasif.
Ulas Marc Chandler dari Bannockburn Global Forex, pasaran mempunyai tabiat membaca Powell sebagai dovish dan atas faktor tersebut beliau melihat risiko ‘membeli pada khabar angin’ kemudian ‘menjual berdasarkan fakta’.
Perkara ini juga disokong Tapas Strickland dari National Australia Bank dalam notanya dengan mengesahkan selera pelabur terus dikaburi ucapan Powell nanti sungguhpun terdapat peluang untuk mengambil risiko semalam.
Rentetan daripada itu pasaran Wall Street ditutup rendah dengan Dow Jones Industrial turun 1.91%, S&P 500 hilang 2.14% dan Nasdaq Composite susut 2.55%.
Di rantau Asia, Nikkei 225 Jepun jatuh 1%, Topix lemah 0.82% sementara Kospi Korea Selatan turun 0.4% dan S&P/ASX 200 Australia susut 0.46%.
Indeks meluas MSCI Asia Pasifik saham luar Jepun jatuh 0.97% sementara tolok ekuiti berpusat AS seluruh dunia gugur 1.8%.
Dalam pada itu, pengukuhan dolar juga menyebabkan harga emas menyusut ke paras terendah 4 minggu dengan niaga hadapan emas jatuh 0.8% pada $1,748.40 per auns.
Bagi komoditi minyak pula ia melantun dari paras rendah untuk diniagakan mendatar semasa sesi selepas Menteri Tenaga Arab Saudi mengatakan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum akan mengurangkan pengeluaran.
Atas faktor tersebut niaga hadapan minyak mentah AS turun 54 sen pada $90.23 sementara minyak mentah Brent susut 24 sen pada $96.48.