Kilauan logam kuning emas kekal suram selepas mengakhiri dagangan lebih rendah pada minggu lalu dengan penyusutan ketara disebabkan oleh kebangkitan US dolar yang kuat.
Ketika sesi Asia, harga emas diniagakan berlegar di paras terendah tiga minggu pada $1,747 per auns susulan kerugian hampir 3% yang dicatatkan pada minggu lalu.
Pendirian hawkish Federal Reserve (Fed) untuk memerangi inflasi telah mendorong lonjakan US dolar ke paras tertinggi enam minggu berbanding pesaing utama, sekali gus melemahkan dagangan emas.
Pelabur kini meluang sekitar 46.5% untuk kenaikan 75 mata asas pada bulan September dan jangkaan 53.5% untuk peningkatan sebanyak 50 mata asas.
Namun, bacaan data pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat dan perbelanjaan peribadi pengguna (PCE), yang menjadi petunjuk utama inflasi kepada Fed, akan menjadi penentu seterusnya buat jangkaan pelabur.
Ini disusuli dengan simposium ekonomi tahunan Jackson Hole yang bakal berlangsung pada Jumaat dan Sabtu di mana ucapan Pengerusi Fed Jerome Powell menjadi tumpuan utama pelabur untuk mendapatkan petunjuk mengenai penetapan dasar akan datang.
Ekoran daripada itu, dagangan emas mungkin akan terus bergelora pada minggu ini.