Dolar Amerika sedikit susut pada sesi Asia, namun kekal kukuh di sekitar paras ketinggian 20 tahun berbanding kebanyakan mata wang utama.
Raja mata wang itu pada mulanya mencatat keuntungan pada awal dagangan Isnin sebelum kembali merosot pada sesi Eropah dan New York.
Pelabur berkemungkinan akan mengambil langkah untuk tunggu dan lihat menjelang keputusan polisi bank pusat pada awal pagi Khamis waktu Malaysia.
Seperti yang menjadi tumpuan pada minggu ini adalah mesyuarat polisi FOMC, Bank of England (BOE), Japan (BOJ) dan Swiss National Bank (SNB) pada hari Khamis.
Pasaran kini melihat 81% peluang untuk kenaikan kadar sebanyak 75 mata asas pada mesyuarat kali ini dan kebarangkalian 19% untuk peningkatan 100 mata oleh Federal Reserve (Fed).
https://soundcloud.com/intradaydotmy/sis-fx-jaga-jaga-usd-dan-emas-209?si=2376a4f132c4479393015c5d19e01987&utm_source=clipboard&utm_medium=text&utm_campaign=social_sharing
Berbanding kebanyakan mata wang utama, indeks dolar diperdagangkan pada sekitar harga 109.53 tidak jauh dari puncak tertinggi 20 tahun 110.79 yang dicapainya pada awal bulan ini.
Melihat perkembangan mata wang lain, euro didagangkan sedikit berubah pada sekitar paras harga pariti 1.000 berbanding US dolar manakala pound pula kekal suram di paras terendah 37 tahun menjelang mesyuarat BOE.
Sementara itu, yen kekal didagangkan mendatar ketika BOJ secara meluas dijangka akan kekal dengan dasarnya yang sangat longgar.
Namun, titik perubahan dalam dasar Jepun mungkin lebih awal daripada yang disangkakan selepas bank pusat itu baru-baru ini menggugurkan perkataan ‘sementara’ untuk penerangannya tentang inflasi yang tinggi.