Pasaran ekuiti bermula baik awal minggu ini dengan unjuran data di rantau Asia Pasifik ditetapkan positif sungguhpun pelabur sedikit resah menjelang terbitan minit mesyuarat FOMC yang akan memberi kesan kepada rali Wall Street minggu lepas.
Tumpuan utama minggu ini berfokuskan kepada minit mesyuarat FOMC yang akan diterbitkan pada Khamis, dijangka mengesahkan pengukuhan nada hawkish Federal Reserve (Fed) dalam kenaikan kadarnya bagi memerangi inflasi.
Selain itu, minggu ini juga terdapat terbitan data gergasi runcit Amerika Syarikat (AS) termasuk Walmart Inc dan Target Corporation.
Akan tetapi sentimen positif pagi ini didorong oleh faktor terbitan data di China yang dijangka baik, seterusnya mengesahkan pengukuhan ekonomi negara Tembok Besar tersebut selepas 2 tahun ditutup akibat Covid-19.
Rentetan itu, Nikkei 225 Jepun naik 0.53% sementara Topix tambah 0.23% dan S&P/ASX 200 Australia canak 0.36%.
Indeks MSCI Asia Pasifik saham luar Jepun kukuh 0.1% semasa pembukaan bagi ini.
Dalam pada itu, niaga hadapan Dow Jones Industrial, S&P 500 dan Nasdaq Composite turun sekitar 0.2% selepas ia mengalami sesi rali pada minggu lalu.
Aliran mata wang memperlihatkan indeks dolar susut 0.8% berbanding sejumlah mata wang lain dengan sentimen risiko memulih.
Euro diniagakan pada $1.0259 selepas melantun 0.8% minggu lepas sementara Yen Jepun lemah 1% pada 133.36.
Bagi komoditi, harga minyak merosot dengan pelabur berhati-hati menilai perkembangan perjanjian nuklear antara Eropah dan Iran.
Ekoran itu, minyak mentah Brent turun 43 sen pada $97.72 sementara minyak mentah AS jatuh 36 sen pada $91.73.