Pasaran mata wang kekal suram menyusuli penjualan dalam pasaran saham Wall Street ketika pelabur terus menilai risiko terhadap ekonomi ekoran lonjakan drastik harga komoditi dunia akibat perang yang meningkat di Ukraine.
US dolar kukuh di paras tertinggi sejak Mei 2020 walaupun sedikit susut pada sesi Asia, menyaksikan indeks dolar yang mengukur kekuatan greenback diniagakan stabil pada 99.15 berbanding pesaing utamanya.
Sementara itu, euro terus didagangkan di paras terlemah hampir dua tahun berbanding USD dengan pergerakan harga menunjukkan sedikit pemulihan daripada kejatuhan yang dicatatkan pada dagangan awal minggu.
Pelabur kini menantikan mesyuarat Bank Pusat Eropah (ECB) pada Khamis yang dijangka bakal menyaksikan bank pusat itu akan menangguhkan sebarang pengetatan yang berpotensi untuk dilaksanakan.
Hal ini kerana, kesan daripada perang Ukraine-Rusia seperti sekatan ekonomi terhadap Moscow dan lonjakan mendadak harga komoditi dikhuatiri dapat merencatkan pertumbuhan Eropah.
Mata wang berkaitan komoditi, dolar Aussie, kiwi dan loonie didagangkan stabil selepas ia menghapuskan keuntungan pada sesi New York berikutan penyusutan dalam saham Wall Street yang menandakan sentimen berisiko.
Selain itu, mata wang ruble pula terus didagangkan merosot ke paras terendah berbanding US dolar ekoran kebimbangan ekonomi Rusia akan terjejas akibat sekatan Barat yang dikenakan ke atasnya.