Penantian pelabur untuk terbitan bacaan indeks harga pengguna (CPI) pada hari ini membuatkan pasaran ekuiti terus tenggelam hanyut dibawa sentimen kebimbangan dalam pasaran di mana turut menjadi perhatian bank pusat Amerika Syarikat (AS).
Jangkaan bahawa Federal Reserve (Fed) akan melaksanakan kenaikan kadar secara agresif, sebanyak 75 mata asas, berdasarkan data pekerjaan yang kukuh terus menjadi tumpuan utama pasaran dan ditambah lagi dengan petunjuk pada data inflasi terbaru.
Ulas Michael Hewson dari CMC Markets, segala perhatian terarah kepada bacaan CPI AS yang akan menentukan situasi inflasi.
Tidak dilupakan bahawa China juga akan menerbitkan bacaan inflasi untuk negara tembok besar tersebut pada hari ini.
Rentetan itu, pasaran Wall Street berakhir lemah dengan Dow Jones Industrial turun 0.18% pada 32,774.41, S&P 500 jatuh 0.42% pada 4,122.47 dan Nasdaq Composite mengalami penyusutan terbesar sebanyak 1% pada 12,493.93.
Zon Eropah menyaksikan STOXX 600 jatuh 0.6% selepas menikmati sesi terbaiknya semalam daripada kerugian 2 hari lepas sementara indeks MSCI ekuiti dunia turun 0.1%.
Meyingkap rantau Asia, Nikkei Jepun turun 0.63% dengan Topix susut 0.46% sementara Kospi Korea Selatan jatuh 0.54% dan Kosdap lemah 0.75%.
S&P/ASX 200 hilang 0.12% dan tolok meluas MSCI saham Asia Pasifik luar Jepun susut 0.22%.
Aliran mata wang memperlihatkan indeks dolar sedikit lemah pagi ini untuk berakhir di paras 106.346 daripada 106.5.
Yen Jepun diniagakan lemah pada $135.16, dolar Australia pada $0.6953 dan Sterling naik 0.4% pada $1.2128.
Bagi komoditi, niaga hadapan minyak mentah AS turun 0.15% pada $90.36 sementara niaga hadapan minyak mentah Brent kekal pada $96.25.