Menjelang bacaan data pekerjaan NFP Amerika Syarikat (AS) malam ini, pasaran ekuiti terus diasak pelbagai tekanan untuk mengakhiri sesi dagangan dengan aktiviti penjualan.
Terbaru, pegawai-pegawai Federal Reserve (Fed) terus bernada hawkish dengan salah seorangnya memberi gambaran kenaikan kadar faedah sebanyak 125 mata asas adalah keperluan andai inflasi tidak menurun menjelang akhir tahun.
Rentetan itu juga beberapa penganalisis mengatakan hala tuju Fed jelas terarah kepada kemelesetan dengan ia memberi fokus untuk meredakan lonjakan inflasi.
Berpandukan sentimen kebimbangan tersebut ekuiti Wall Street dilihat mengakhiri dagangan di tampuk penjualan dengan indeks S&P 500 turun 22% dari puncaknya semasa 3 Januari lalu.
Melihat carta Wall Street, indeks Dow Jones Industrial turun 1.15% sementara S&P 500 hilang 1.02% dan Nasdaq Composite susut 0.68%.
Indeks MSCI ekuiti dunia yang menjejaki sejumlah 45 saham lain turun 0.85% sementara tolok meluas MSCI Asia Pasifik saham luar Jepun jatuh 0.41%.
Di Asia, Nikkei 225 Jepun jatuh 1.35% dengan Topix susut 1.29% sementara Kospi Korea Selatan turun 0.8% dan Kosdaq junam 0.93%.
Bertentangan dengan pergerakan ekuiti adalah greenback dan hasil Perbendaharaan yang menyaksikan pengukuhan semasa sesi dagangan.
Indeks dolar yang mengukur sejumlah mata wang lain naik 0.99% pada 112.177 sementara nota Perbendaharaan 10 tahun canak 6.3 mata asas pada 3.812%.
https://soundcloud.com/intradaydotmy/bob-bursa-pelabur-perlu-dengar-ini-0710?si=a04dfea4a37c47688e7ea2e8eeb65f34&utm_source=clipboard&utm_medium=text&utm_campaign=social_sharing
Dalam pada itu, komoditi turut mengalami peningkatan lebih-lebih lagi selepas pengeluaran minyak akan dihadkan oleh OPEC.
Atas faktor tersebut niaga hadapan Brent naik 1.1% pada $94.42 sementara minyak mentah AS canak 0.8% pada $88.45.