Pergerakan mata wang terhad menghiasi dagangan sesi Asia berikutan kewaspadaan pelabur menjelang keputusan dasar Bank Pusat Eropah (ECB).
Kenaikan euro terbatas setelah mencatat peningkatan sekitar 2% dalam tiga sesi dagangan sebelum ini yang didorong oleh jangkaan ECB mungkin akan melaksanakan peningkatan kadar lebih besar sebanyak 50 mata asas.
Laporan mengenai saluran paip gas utama Rusia ke Jerman akan dibuka semula pada minggu ini selepas proses penyelenggaraan juga menyokong mata wang itu.
Namun, ketidaktentuan politik di Itali sedikit sebanyak merencatkan pengukuhan euro di mana Perdana Menteri Mario Draghi akan meletakkan jawatannya selepas tiga parti utama dalam gabungan luasnya tidak mengambil bahagian dalam undi percaya.
Sementara itu, US dolar pulih daripada paras terendah hampir dua minggu pada sesi New York untuk indeks dolar kembali di sekitar harga 107.00 berbanding mata wang utama.
Mata wang pound pula kekal merosot berbanding US dolar dengan tumpuan terarah kepada undian kepimpinan Konservatif dan Perdana Menteri UK yang kini mempunyai dua calon terakhir, Rishi Sunak dan Liz Truss.
Terdahulu, pelabur telah diperlihatkan dengan bacaan data inflasi UK yang meningkat ke paras ketinggian 40 tahun terbaharu kepada 9.4% pada bulan Jun.
Dolar Kanada pula menguat setelah menyaksikan peningkatan berterusan dalam bacaan inflasi meningkat paling tinggi sejak Januari 1983 kepada 8.1% pada bulan lalu.