Rancangan terbaharu pentadbiran Presiden Joe Biden untuk mengeluarkan minyak dari rizab kecemasan Amerika Syarikat telah mendorong harga minyak mentah menjunam lebih rendah pada sesi Asia.
White House dijangka mengumumkan rancangan tersebut pada hari Khamis, di mana sekitar 1 juta tong minyak sehari akan dikeluarkan selama kira-kira enam bulan daripada simpanan bagi mengurangkan harga petrol yang telah mencecah rekod tertinggi susulan perang Rusia-Ukraine.
Niaga hadapan WTI Amerika Syarikat memadamkan keuntungan sekitar 5.5% pada sesi Asia susulan laporan tersebut dengan diniagakan pada $101.55 setong. Sementara dagangan minyak mentah Brent pula susut 4%, membawanya didagangkan suram pada sekitar harga $108 setong.
Berita mengenai kemungkinan pelepasan minyak AS secara tidak langsung membayangi pertemuan OPEC+ pada hari ini yang dijangka akan mengekalkan komitmen sedia ada untuk meningkatkan pengeluaran minyak pada kadar semasa.
Dalam pada itu, Menteri tenaga Australia memberitahu bahawa Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) telah memanggil untuk mengadakan mesyuarat tergempar menteri pada hari Jumaat bagi membincangkan mengenai bekalan minyak.
Hal ini mungkin akan mempengaruhi pergerakan harga minyak seterusnya jika IEA menyatakan kebimbangannya terhadap bekalan minyak dunia.