‘Perang Rusia-Ukraine pun belum tamat, lepas tu krisis AS-China-Taiwan, sekarang Korea Utara pun nak join jugak.’
Korea Utara seumpama memperingatkan dunia mengenai kewujudannya apabila kerajaan komunis, Kim Jong Un dilaporkan melancarkan peluru berpandu melewati ruang udara Jepun.
Menurut laporan Joint Chiefs of Staff (JCS) Korea Selatan dan pengawal pantai Jepun, Korea Utara melancarkan peluru berpandu yang memasuki ruang udara kepulauan Matahari Terbit itu sebelum jatuh ke lautan Pasifik.
Ia difahamkan adalah peluru berpandu balistik pertama dalam tempoh 5 tahun dan kerajaan Jepun dikatakan tidak menggunakan sebarang langkah pertahanan untuk memusnahkan senjata pemusnah itu setakat ini.
Mengulas kejadian, jurucakap tertinggi kerajaan Hirokazu Matsuno menyifatkan tindakan Korea Utara tersebut mengancam keselamatan Jepun, masyarakat antarabangsa dan boleh mencetuskan ketegangan dunia.
Turut mengeluarkan kenyataan rasmi adalah Perdana Menteri Fumio Kishida dengan mengatakan tindakan pelancaran peluru berpandu tersebut sebagai sesuatu yang ‘biadab’ dan kerajaan akan terus membuat penyiasatan susulan.
Dalam pada itu, JCS turut melaporkan bahawa Korea Utara telah melancarkan peluru berpandu balistik jarak pertengahan (IRBM) dari Wilayah Jagang sementara TV Asahi Jepun mengatakan ia adalah jenis peluru berpandu balistik antara benua (ICBM).
Turut dimaklumkan bahawa peluru berpandu tersebut jatuh kira-kira 3,000 kilometer dari Jepun dan atas sebab itu kerajaan Jepun telah menangguhkan operasi kereta api East Japan Railway di wilayah utama negara tersebut.
Pada berita berasingan, pelancaran tersebut dikatakan adalah yang ke-5 dalam 10 hari semasa Amerika Syarikat dan Korea Selatan memperagakan aset ketenteraan mereka untuk latihan anti kapal selam pada minggu lalu bersama pasukan Jepun.
Selain itu, Korea Selatan turut mengadakan pertunjukan persenjataan canggihnya pada Sabtu sempena Hari Angkatan Tentera.