Harga emas didagangkan rendah ketika pasaran menuju ke penghujung minggu dengan berada di landasan untuk penurunan mingguan kedua berturut-turut.
Ketika sesi Asia, spot emas diniagakan suram pada $1,825 per auns, merosot dari paras $1,846 yang dicapainya pada sesi New York.
Secara keseluruhannya, emas kekal bergerak mendatar pada sekitar harga yang sama seiring dengan pergerakan pasaran kewangan yang perlahan secara meluas pada minggu ini.
Pengerusi Federal Reserve (Fed) sekali lagi mengulangi pendiriannya untuk melawan inflasi dengan kenaikan kadar faedah yang berterusan, dalam ucapannya kepada panel Dewan Rakyat AS pada Khamis.
Ini menyebabkan pergerakan emas terus terbatas walaupun pada masa yang sama kebimbangan terhadap risiko kemelesetan juga membantu mengekangnya daripada jatuh lebih rendah di bawah harga $1,800.
Powell turut memberitahu mengenai cabaran Fed untuk mendapatkan peralihan yang selamat dalam ekonomi AS susulan langkah agresifnya boleh mendorong kepada kemelesetan.