Minyak mentah didagangkan sedikit suram pada Isnin selepas menutup minggu dagangan tidak menentu berikutan kebimbangan mengenai prospek permintaan yang semakin lemah.
Ketika sesi Asia, niaga hadapan minyak mentah Brent diniagakan berlegar pada $91 setong manakala dagangan WTI Amerika Syarikat pula didagangkan pada $85 setong.
Langkah sekatan Covid-19 di China yang berlanjutan terus mencetuskan ketidakpastian dalam pasaran minyak mentah, yang dibimbangi akan menjejaskan permintaan dari pengguna tenaga terbesar dunia itu.
Terbaharu, Reuters melaporkan bahawa terdapat jangkaan permintaan minyak dari China akan menguncup buat kali pertama sejak 2002 pada tahun ini.
Unjuran ini tidak menghairankan memandangkan penutupan di bandar-bandar utama seperti hab kewangan Shanghai sebelum ini telah menjejaskan permintaan minyak China dengan ketara pada suku kedua.
Dalam pada itu, langkah pengetatan dasar yang agresif oleh Federal Reserve juga dikatakan punca kepada kelemahan harga minyak yang boleh menaikkan nilai US dolar berbanding mata wang utama dan menjadikan minyak dalam denominasi dolar lebih mahal untuk pelabur.